Monday, February 2, 2009

Anwar: Kerajaan Perak masih stabil, dipertahankan


BUKIT MERTAJAM: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Pakatan Rakyat di Perak masih stabil walaupun terdapat dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada gabungan parti itu mungkin menyertai Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, wakil rakyat Pakatan Rakyat sudah memberi pengakuan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam pertemuan pagi semalam bahawa mereka berdiri teguh mempertahankan kerajaan itu.

“Setakat ini, kita dapati kerajaan Perak masih stabil dan kita akan pertahankan kedudukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan Menteri Besarnya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan enam wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Perak termasuk Datuk Nasarudin Hashim yang baru menyertai parti itu di Yayasan Aman semalam.

Anwar berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kuala Lumpur awal semalam yang tidak menolak kemungkinan terdapat ADUN Pakatan Rakyat di Perak yang akan menyertai BN.

Menurut penasihat PKR itu, beliau terkejut dengan kenyataan Abdullah kerana selama ini Perdana Menteri dan Timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak serta pemimpin Umno menganggap perbuatan melompat parti itu sebagai sesuatu yang tidak bermoral dan tidak mengikut peraturan.

Ditanya mengenai kehadiran ADUN PKR semalam, beliau berkata enam daripada lapan orang sahaja hadir manakala dua lagi iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan badanbadan Bukan Kerajaan Perak, Kapt(B) Mohd Osman Jailu dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Jamaluddin Mohd Radzi dilaporkan “hilang”.

“Yang dua tu hilang tak dapat dihubungi, yang lain itu ada,” katanya.

Anwar berkata pihaknya masih belum mendapat maklumat mengenai kedua-dua Exco itu yang dikatakan “hilang” sejak empat atau lima hari lalu.

Sementara itu di Georgetown, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata mana-mana ADUN DAP di Perak yang gagal dihubungi melebihi tempoh 24 jam akan dianggap mempunyai hasrat meletakkan jawatan mereka sebagai wakil rakyat di negeri itu.

“Dalam perkembangan di Perak, saya menegaskan mana-mana ADUN DAP di negeri itu yang tidak dapat dihubungi lebih daripada 24 jam akan dianggap berniat untuk meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat,” katanya kepada pemberita di sini.

Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak terdiri daripada 18 wakil rakyat DAP manakala PKR (lapan) dan PAS enam orang.

http://www.bernama.com

No comments: