Tuesday, March 10, 2009

Tidak akan dipercepatkan, sebaliknya akan mengikut jadual telah ditetapkan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kajian tentang keberkesanan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak akan dipercepatkan, sebaliknya akan mengikut jadual telah ditetapkan, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Kita ikut jadual macam biasa kerana ia perlu melalui proses-proses tertentu,” kata beliau pada sidang media khas di kediamannya di sini sebentar tadi.

Tambah Hishammuddin, beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentukan status PPSMI kerana hanya Jemaah Menteri yang akan membuat keputusan mengenainya.

“Ini bukan keputusan saya sebagai individu… kita kena tunggu Kabinet,” kata beliau yang juga Ketua Pemuda Umno.

Hishammuddin mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam yang meminta supaya keputusan berhubung isu PPSMI dibuat segera bagi mengelakkan tercetusnya isu yang lebih besar pada masa akan datang.

Abdullah berkata, kerajaan mengakui adanya desakan yang kuat daripada rakyat khusunya orang Melayu yang sedang memberi perhatian terhadap perkara terbabit.

“Saya harap keputusan ini akan dibuat segera. Kalau tidak nanti tekanantekanan dan tindakan-tindakan NGO (Badan Bukan Kerajaan) akan berterusan dan akan menjadi isu yang lebih besar,” katanya.

Kira-kira 5,000 orang berarak membantah pelaksanaan PPSMI dari Masjid Negara ke Istana Negara petang semalam bagi menyerah memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Hishammuddin menjelaskan, kajian mengenainya masih berada di peringkat akhir Kementerian Pelajaran.

Tambah beliau, memorandum hasil kajian tersebut akan diserahkan kepada kementerian-kementerian berkaitan dalam tempoh terdekat.

“Kita tidak ada tarikh akhir bila ia akan diputuskan kerana selepas ini kementerian-kementerian-kementerian berkenaan akan memberi komen dan respons terhadap kajian itu.

“Selepas itu draf terakhir setelah kementerian-kementerian berkenaan kembalikan, barulah kita akan membentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.

http://www1.mstar.com.my

No comments: