MASALAH yang dihadapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak habis-habis, parti itu menghadapi masalah bertimpa-timpa. Lepas satu, satu timbul kejadian mengilankan. Apakah PKR diwujudkan untuk menghadapi masalah dan ikut sama menyusahkan orang lain? Barang kali tidak begitu. Tetapi itulah hakikatnya.
Ataupun masalah yang menerpa PKR kerana hebatnya serangan UBN ke atas parti berkenaan. UBN beriya mahu mengocakkan PKR kerana parti itu adalah parti bekas TPM, Anwar Ibrahim. Disebabkan kehebatan Anwar maka PKR yang menjadi sarangnya kini perlu dirobohkan sebelum ianya membiak dan berkuasa.
Jika dilihat kepada kronologi perisitwa politik negara ini selepas pilihan raya umum ke-12 lalu, masalah dalam Pakatan Rakyat berpunca dari masalah dalam PKR. Masalah wakil rakyat atau pemimpin mereka yang tidak mempunyai intergriti dan dijadikan umpan ugutan oleh UBN?
Runtuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak awal tahun lalu misalnya disebabkan ulah dan perangai dua Adun dari PKR, Othman Jailu dan Jamaluddin Md Radzi. Mulanya mereka diserkup oleh SPRM. Lepas itu bertindak mengumumkan keluar dari PKR. Bertolak dari bahana kedua-dua wakil rakyat itulah akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat.
Kini terbaru ialah Adun Lunas, Kedah, Mohd Radzhi Salleh (foto) pula buat hal dengan mengumumkan keluar dari PKR semalam. Radzhi juga seorang Exco kerajaan Kedah. Apakah peristiwa yang berlaku ke atas dua Adun Perak itu menimpa Adun Lunas ini, diugut dan akan diserkup oleh SPRM?
Jika melihat kepada kedudukan Adun itu tidak ada sebab untuk beliau meninggalkan parti. Tiada tekanan dari dalaman parti terhadapnya. Dan kedudukan sebagai Exco Pelancongan Pembangunan dan Sumber Tenaga Manusia itu juga sudah lumayan buatnya. Kedudukan itu sudah cukup untuk menyara dia dan anak bini setahun dua ini. Apa lagi yang kejar dalam politik kalau bukan kedudukan? Kononnya untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara dalam politik hanya gula-gula saja.
Alasan kenapa beliau keluar parti kerana hilang kepercayaan kepada perjuangan PKR nampaknya sebagai alasan saja. Radzhi mencari-cari alasan menghalalkan tindakannya. Katanya dia juga keluar parti setelah pemangku ketua bahagian PKR Padang Serai keluar parti maka beliau kena keluar parti. Sebabnya pemangku ketua bahagian itu berjasa kepadanya.
Ternyata alasan itu dangkal dan naif sekali. Kenapa sekarang perlu menilai perjuangan PKR samada betul atau tidak, kenapa tidak dari mula. Jelas alasan itu sengaja diada-adakan bagi menyembunyikan masalah sebenarnya.
Justeru dalam hal ini apa yang mungkin berlaku ialah Radzhi diugut. Mungkin SPRM sudah pun melingkungi rumahnya. Sekiranya beliau tidak melepaskan diri dari PKR dan menyatakan sokongan kepada 1 Malaysia maka beliau mungkin akan dicekup dan diheret ke mahkamah. Sebab itulah kalau dilihat kepada kenyataan keluar partinya itu Radzi menyatakan sokongan kepada PM? Mengapa sekonyong-konyong menyokong Najib Razak?
Sebelum ini sudah tersebar Adun ini ada masalah dalam kes membuat tuntutan melampau. Mungkin kes tuntutan melampau inilah yang mencengkik lehernya dan terpaksa mencari tali hayat untuk menyelamatkan keadaan dirinya. Bila diri sudah lemas untuk apa dipedulikan kepada nasib orang lain.
Katanya Anwar Ibrahim telah tahu masalah Radzhi ini dan menyerahkan kedudukan Radhzi ini kepada MB, Azizan Abdul Razak? Cuma Azizan masih bersikap tunggu dan lihat dan tidak mengambil tindakan malahan terus merekmen Radzhi menyambungkan kedududunya sebagai Exco. Ertinya masalah Radzhi sudah lama memburuk dalam kerajaan Kedah.
Saya cukup yakin kalau tidak ditekan dan dibelit masalah rumit Radzhi tidak akan meninggalkan PKR. Apa lagi jawatan Exco yang disandang itu tidak mudah untuk diperolehi. Belum tentu kalau dia bersama Umno akan dilantik menjadi Exco. Tetapi mungkin kerana ditekan menyebabkan dia bertindak demikian. Itulah politik dan jahat serta licitnya politik UBN.
Pengumuman yang dibuat Radzhi menjelang hari mengundi pilihan raya kecil Permatang Pasir ini bagaimana dipercayai tidak memberi apa-apa kesan kepada pilihan raya berkenaan. Pengundi Permatang Pasir tidak akan tergugah dengan langkah beliau itu. Malahan pengumuman yang diatur itu dikira memberi kesan baik kepada calon Pas, Mohd Salleh Man. Pengundi yang sudah arif dengan taktik UBN akan jadi lebih berkobar lagi untuk memenangkan Pas sebagai melepaskan perasaan terkilan atas tindakan Radzhi itu.
Dan kalau tindakan Radzhi itu untuk menyelamatkan nyawa politiknya ia juga tidak selamat. Apa kata kalau selepas ini pihak kerajaan Kedah pula akan membuat laporan ke atasnya berhubung apa-apa penyelewengan yang mungkin dilakukannya? Bukankah kes ini boleh disifatkan takutkan ular di depan diterkam harimau di belakang?
Ahli PKR juga tidak perlu walang dan berdukacita atas keputusan Radhzi itu. Sebaliknya ahli PKR perlu rasa gembria kerana orang-orang yang lemah semangat, bermasalah, tidak mempunyai waja dalam perjuangan tidak lagi berada dalam parti mereka.
Anggaplah penghijrahan keluar oleh mana-mana ahli itu sebagai proses untuk menyucikan PKR daripada terbelenggu dengan mereka yang berstatus habuk dan sampah dalam perjuangan. Tidak ada makna dan gunanya kalau kebenaran itu berbelit dengan kebatilan!
www.msomelayu.blogspot.com
No comments:
Post a Comment