Friday, September 18, 2009

Ibu terkejut terima caruman insuran arwah anak RM100,000

KUALA LUMPUR - Ibu Allahyarham Konstabel Azhar Ashari terkejut apabila dimaklumkan anaknya yang meninggal dunia pada pertengahan tahun ini, ada meninggalkan caruman premium insurans hampir RM100,000 dari dua buah syarikat insurans.

Rapiah Kasman, 53, berkata, Azhar tidak pernah memberitahu keluarganya tentang kewujudan caruman sebanyak itu sejak menyertai perkhidmatan itu sejak tiga tahun lepas.

“Makcik terkejut apabila diberitahu syarikat insurans yang arwah anak makcik ada meninggalkan caruman untuk kami.

“Walaupun wang tidak boleh diganti dengan nyawa tapi kami akan gunakan sebaik-baiknya. Duit yang kami terima ini akan kami simpan untuk kegunaan di masa depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan cek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini hari ini.

Allahyarham Azhar, 22, meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah di kepala setelah dilanggar lari dari belakang ketika menyertai satu operasi bersepadu polis Mei lepas.

Rapiah berkata, menjelang tibanya raya setiap tahun, arwah akan menolong memasang langsir dan menghias rumah.

“Makcik biasanya masakkan ayam masak merah kesukaannya tapi raya tahun ini kurang seri tanpanya di sisi kami,” kata surirumah itu dalam nada sebak.

Beliau berkata, anak bongsu dari lima beradik itu, merupakan seorang yang rajin dan sentiasa berdikari di dalam hidupnya.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, Azhar yang berkhidmat di unit Tugas Am, Balai Polis Petaling, sebagai seorang anggota yang prihatin dan matang dalam melakukan tugasnya.

“Sehinggakan untuk keluarga pun arwah prihatin dan bijak apabila mencarum insurans yang sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban keluarga,” katanya. - Bernama

No comments: