Friday, October 2, 2009

Analisis PRK: Umno lebih pentingkan kemenangan

Oleh Mohd Sayuti Omar

SAH calon Pas, Zulkefli Mohd Omar, 45 tahun. Ia diumumkan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang tiga minit lalu. Zulkefli seorang profesional dan menjawat jawatan pengarah sebuah syarikat. Mempunyai enam orang anak. Dalam pilihan raya beliau bertanding di DUN Lenggeng kalah ditangan Mustapa Salim dengan majoriti 1,285.

DI MAJLIS pengumuman calon Pas untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang saat ini, Naib Presiden PKR, Azmin Ali sedang berucap. Nama calon Pas bila-bila masa akan diumumkan oleh Presiden pas, Abdul Hadi Awang. Nama Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar sudah hampir pasti akan diumumkan sebagai calon.

UBN sudah pun mengesahkan bekas MB Negeri Sembilan, Mohd Isa Samad, 59 sebagai calon mereka. Pengumuman nama Isa dilakukan oleh Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin di Port Dickson kira-kira jam 5:40 petang tadi dalam satu majlis khas sempena sambutan hari raya Aidilfitri yang dihadiri kira-kira 3,000 orang.

Turut sama dihadir memberi semangat ialah Perdana Menteri, Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan beberapa pemimpin kanan Umno dan BN.


Pengumuman Mohd Isa sudah dijangka awal-awal lagi. Walaupun pengumuman itu tidak mengejutkan tetapi ia menyebabkan sebilangan orang mengeluh dengan pemilihan Isa itu.

Mereka yang bersetuju dengan pandangan bekas Presiden Umno, Mahathir Mohamad tentu teruja dengan pemilihan Isa. Bagi mereka Umno Negeri Sembilan sungguh berani kerana meletakkan Isa sebagai calon.

Dari sudut lain pemilihan Isa itu menjelaskan Umno sudah tidak mempedulikan lagi pandangan Dr Mahathir.

Apakah ketidakpedulian Umno itu bakal memberi risiko kepadanya? Sekiranya pandangan Mahathir itu benar bahawa dengan mencalonkan Isa ia menjejaskan Umno, nampaknya Umno tidak mempedulikan nasihat bekas presiden mereka itu.

Pemilihan Mohd Isa yang pernah digantung kerana penglibatan dalam rasuah politik itu menurut Muhyiddin adalah atas kehendak akar umbi Umno bahagian Teluk Kemang. Umno bahagian berkenaan terus mahukan Isa walaupun bekas MB itu seeloknya bersara dalam politik dan sepatutnya bersedia menyokong calon lain.

Kelebihan Mohd Isa beliau mendapat sokongan akar umbi yang turut mendesak Umno bahagian Telok Kemang agar mempertahankan Isa. Situasi itulah menyebabkan Umno serba salah dan tidak ada pilihan lain melainkan mencalonkan Isa kandatipun Isa bermasalah.

Apa yang jelasnya pencalonan itu menunjukkan pengaruh peribadi Isa masih kuat di Negeri Sembilan khasnya di Teluk Kemang. Pemilihan Isa sebagai calon Umno menjelaskan Isa bukan calon parti tetapi calon dari orang kampungnya sendiri!

Dari sudut lain pencalonan Isa dilihat sebagai satu perjudian besar oleh Umno. Umno seakan memberi ruang kepada pembangkang untuk menjadikan masalah peribadi Isa sebagai modal kempen Pas.

Sudah pasti penggantungan Isa sebagai ahli selama tiga tahun akan menjadi bahan kempen utama. Pembangkang akan menjaja kepada pengundi yang calon UBN tidak mempunyai intergriti dan seorang yang korup.

Dengan pemilihan Isa itu ertinya Umno lebih mementingkan kepada kemenangan parti daripada mengutamakan intergriti parti berkenaan. Umno cukup yakin hanya Isa yang mampu membawa kemenangan kepada parti itu.

Dan kerana demi kemenangan Umno yang dikenali sebagai sebuah parti yang tidak mengutamakan soal syaksiah, soal ketelusan dan kebersihan pemimpin rela mengambil sesiapa saja menjadi calon mereka termasuk 'banduan politik wang' seperti Isa asalnya ia bakal memberi kemenangan!

No comments: