Saturday, March 13, 2010

Cucu Seniwati Azean Irdawaty kepada anak sulung kepada pelakon Khaeryll Benjamin atau Benjy bersama isteri Safiya Stephanie

Cucu Wan Yan

TIADA kata-kata seindah bahasa yang mampu diungkapkan oleh pelakon wanita versatil, Azean Irdawaty tatkala menerima kehadiran orang baru dalam hidupnya.

(Gambar : PERMATA hati. Pidod pengikat kasih antara Benjy dan Safiya.)

Firdauz Juan cucu sulung Wan Yan (nama gelaran baru buat Azean) merupakan anak sulung kepada pelakon Khaeryll Benjamin atau Benjy (28) bersama isteri tersayang Safiya Stephanie (23).

Satu pertemuan eksklusif diadakan baru-baru ini oleh pelakon tersebut bersama wakil media bagi meraikan Firdauz Juan yang dilahirkan pada 9 September lalu.

“Saya pun tak tahu nak cakap apa. Masa menunggu kelahiran Pidod (nama gelaran bagi Firdauz Juan) kami yang menunggu di luar begitu takut. Bila dapat tahu saja dia selamat dilahirkan kami berempat (Azean, suami, dan besannya) menjerit di luar macam kanak-kanak,” cerita Azean gembira.

Benjy yang pada masa itu menemani isterinya tidak putus-putus berdoa ke hadrat Ilahi agar memberikan kekuatan kepada Safiya ketika melahirkan Pidod.

“Masa tu baru kita tahu kita ini sebenarnya kecil. Ingin membantu isteri kesakitan, tapi tak upaya. Akhirnya kita hanya mampu melihat dan berdoa. Cukup bercelaru hati dan perasaan waktu itu. Tapi kecelaruan itu akhirnya bertukar menjadi kebahagiaan bila melihat baby keluar. Hebatnya kegembiraan yang Tuhan kurniakan,” cerita Benjy ceria menceritakan perasaan menjadi seorang bapa.


*Benjy nak ajar Pidod bersilat

Biarpun baru berusia dua minggu, Benjy telah membayangkan masa depan anaknya.

“Saya mahu dia membesar sebagai seorang manusia yang bertanggungjawab. Biar pun dia melakukan kesilapan, saya mahu dia berani mengakuinya dan membetulkan kesilapannya.

“Saya sendiri mahu mempelajari ilmu mempertahankan diri iaitu silat dan mahu menurunkan ilmu tersebut kepada Pidod agar dia boleh menjadi seorang insan yang mampu berdikari,” kata Benjy.

Bagi Safiya pula, menjadi ibu merupakan satu peralihan hidup yang dinanti-nantikannya. Justeru biarpun agak menderita `berpantang’ selama 44 hari, namun semua itu dianggapnya sebagai satu proses pembelajaran menjadi wanita dewasa.

“Saya tak boleh minum coke, memang sesuatu yang tak mampu saya lakukan. Tapi demi untuk kesihatan masa depan, saya kena ikut juga,” katanya.

*Ingin bimbing bapa muda

Susah payah menerima kelahiran orang baru, bukan saja dirasakan Safiya. Tetapi juga Benjy. Membuat persediaan mandian dan peralatan bertungku Safiya, semua itu dilakukan Benjy.

“Memang mulanya Mama buat semua itu. Tapi saya juga ingin membantu dan merasai pengalaman itu,” cerita Benjy.

Keseronokan dan susah payah menjaga isteri yang baru lepas bersalin akan digunakan Benjy untuk membimbing para bapa muda yang lain.

“Setelah saya melalui semua ini, saya rasa tak salah saya berkongsi dengan para suami segala pengalaman saya. Fokus saya tentunya pada suami-suami muda yang mungkin kekok dan tak reti untuk menjaga isteri semasa berpantang. Mungkin saya akan buka kelas bimbingan untuk bapa muda menghadapi isteri yang baru lepas bersalin,” katanya.

- Utusan ARKIB : 27/09/2006

No comments: