Friday, May 21, 2010

JHEAINS pantau kubur Ashaari

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Johani Hassan, hari ini menasihatkan umat Islam mengelak daripada melakukan perkara kurafat.

Katanya, tindakan akan diambil terhadap kawasan yang dikenal pasti di Negeri Sembilan sebagai tempat "membayar niat" bagi membanteras amalan kurafat di kalangan umat Islam.

"Amalan pemujaan jelas bercanggah dengan akidah," katanya.

Beliau mengulas kebimbangan kubur bekas pemimpin kumpulan Al-Arqam yang diharamkan, Ashaari Muhammad atau lebih dikenali dengan panggilan Abuya, oleh pengikutnya di Kampung Pilin, Rembau, dijadikan tumpuan amalan khurafat.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat membaca al-Quran di kubur Allahyarham Ashaari itu dibenarkan tetapi jangan sampai memuja.

Johani berkata, JHEAINS dan jawatankuasa masjid Kampung Pilin sedang memantau perkara itu.

Ashaari, 73, meninggal dunia di Hospital Pakar Ipoh, Perak pada 2.10 petang 13 Mei lalu, tiga hari selepas dimasukkan di hospital itu kerana jangkitan paru-paru.

Jenazahnya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Pilin pada malam itu juga.

Tinjauan juga mendapati kubur Ashaari berada dalam keadaan terkawal dengan beberapa pengikutnya bergilir-gilir menjaga kubur berkenaan. - Bernama

* Hebat Ashaari, mati pun namanya disebut-sebut orang lagi, bahkan kuburnya dijaga 24 jam. Inilah balasan orang yang teramat soleh...

No comments: