Monday, July 19, 2010

Perbicaraan liwat II Anwar ditunda 2 Ogos


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bersetuju menundakan perbicaraan kes liwat II yang membabitkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 2 Ogos ini.

Ia berikutan prermohonan daripada peguam tertuduh berikutan peguam utama Anwar, - Karpah Singh diberi cuti sakit 15 hari akibat radang paru-paru.

Karpal, 70, yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor kini sedang berehat selepas dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 9 Julai lalu.

Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata mahkamah membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh peguam Param Cumaraswamy.

"Ia berdasarkan jaminan dari Param bahawa kes itu akan diteruskan tanpa mengira sama ada Karpal akan hadir kemudian hari nanti,” katanya.

“Seorang daripada peguamnya mesti meneruskan jika diperlukan nanti.”

Peguam cara negara II, Mohd Yusof Zainal Abiden tidak membuat bantahan.

Perbicaraan kes Anwar akan dijalankan sepanjang bulan Ogos.

Seorang lagi peguamnya, Sankara Nair memberitahu wartawan di luar mahkamah, Karpal dikejarkan ke hospital pada 9 Julai lalu akibat pneumonia.

Anak Karpal - Ram Karpal berkata bapanya hanya dibenarkan keluar Khamis lalu.

Menurut Ram, Karpal kini diberikan antibiotik dan berada dalam keadaan separa sedar.

"Dia sedang berehat,” kata Ram sambil menambah ayahnya kini di rumah mereka di Pulau Pinang.

Sankara mengulangi perbicaraan akan bersambung 2 Ogos dan dijalankan sepanjang bulan berkenaan.

"Kita telah berjanji kepada mahkamah, kita juga mahu perbicaraan disambung semula,” katanya.

Menurut Sankara jika Karpal tidak sihat, seorang lagi peguam dalam pasukan mereka akan menggantikan tempat Karpal.

"Karpal mempunyai dua minggu untuk pulih sepenuhnya. Saya yakin beliau akan sempat pulih sepenuhnya,” katanya.

Selain Karpal, Param dan sankara, peguam lain yang mewakili Anwar ialah CV Prabhakaran, Wan Anuar Syahadat, Melissa Christopher Fernando dan ahli jawatankuasa pusat PAS Mohd Hanipa Maidin

Anwar, 63 didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat. - Malaysiakini

No comments: