Saturday, September 4, 2010

Ibu, anak dibunuh


Kaki diikat, muka dibalut kain sarung

PORT DICKSON: Seorang ustazah dan anak lelakinya berusia 10 tahun ditemui mati dalam keadaan terlentang dengan kedua tangan serta kaki diikat dan muka mereka ditutup menggunakan kain di sebuah apartmen di Jalan Sutera Lama, di sini, semalam.

Norliza Ishak, 35, dan anaknya, Amirul Ayman Mohd Yusoff dipercayai dibunuh malam kelmarin, tetapi kejadian itu hanya disedari kira-kira jam 10 pagi semalam apabila rakan mangsa datang ke rumahnya selepas kedua-duanya tidak hadir ke sekolah.

Suami Norliza yang berada di Mesir menguruskan perniagaan kini dalam perjalanan pulang.

Kedua-dua mangsa yang masing-masing mengajar dan belajar di Sekolah Kebangsaan Port Dickson sepatutnya pulang ke kampung mereka di Pulau Kerbau, Palekbang di Tumpat, Kelantan, malam tadi.

Rakan mangsa, Norhayati Zainuddin, 25, yang mengajar di sekolah sama, berkata dia menyedari sesuatu tidak kena apabila anak mangsa yang belajar di kelasnya tidak hadir.

“Saya segera mencari Norliza untuk bertanyakan perkara itu, namun dimaklumkan tiada siapa nampak mangsa sejak pagi dan saya menghubungi dua beranak itu, namun tiada jawapan.

“Tidak berpuas hati, saya pergi ke rumah mereka namun pintu berkunci dan saya pulang ke sekolah memaklumkan Guru Besar.
“Saya dan beberapa guru lain pergi semula ke rumah berkenaan. Selepas memanggil dan mengetuk pintu beberapa kali, tetapi tetap tiada jawapan. Kami mengambil keputusan mendapatkan bantuan pengurusan untuk membuka pintu rumah itu,” katanya yang terkejut apabila menemui mayat dua beranak itu.

Beliau yang terlalu sedih dengan pemergian sahabat baiknya berkata, dia sudah berjanji menghantar dua beranak itu ke hentian bas untuk pulang ke kampung.

“Arwah ada tunjukkan saya tiket bas sehari sebelum kejadian dan dia nampak sangat gembira hendak pulang berhari raya kerana katanya kali ini dapat bercuti lama,” katanya sebak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh, berkata dua beranak itu ditemui dalam keadaan terlentang dan tangan serta kaki diikat menggunakan pita pelekat dan tali di dalam bilik air rumah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dipercayai mati beberapa jam sebelum mayat mereka ditemui tanpa sebarang kesan kecederaan atau pergelutan.

“Pemeriksaan mendapati rumah itu dalam keadaan berkunci ketika kejadian dan buat masa ini kita belum mengenal pasti motif pembunuhan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Baljeet berkata, pihaknya juga menyiasat dakwaan seorang jiran yang terdengar jeritan anak mangsa antara jam 4 hingga 5 petang kelmarin, namun tidak mengendahkannya kerana menyangka ia perkara biasa.

Katanya, polis juga akan menyiasat jika ada barangan berharga hilang dalam kejadian itu.

Adik ipar mangsa, Mohd Nazmi Awang Besar, 35, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Saujana, dekat sini, berkata sudah memaklumkan suami mangsa, Mohd Yusuf Awang Besar, 37, mengenai kejadian itu. – Bharian

No comments: