Saturday, September 4, 2010

Wanita Umno Selar Tindakan Nurul Izzah Pertikai Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita UMNO menyelar tindakan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak dan keistimewaan orang Melayu.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Nurul Izzah tidak perlu memberikan interpretasi yang baru tentang hak orang Melayu kerana pelembagaan pada hari ini telah pun menentukan bahawa negara Malaysia selamat, aman dan makmur.

"Jikalau ada pelbagai cubaan untuk menodai perlembagaan yang sedia ada pada hari ini, maka risikonya terlalu tinggi," kata beliau selepas melancarkan 'Skuad Sayang' Wilayah Persekutuan di Bandar Tun Razak, di sini, Jumaat.

Shahrizat, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata cubaan oleh piohak pembangkang itu akan hanya menimbulkan keresahan bukan sahaja kepada orang Melayu malah kaum lain di negara ini.

Nurul Izzah dalam artikel yang disiarkan dalam portal 'Malaysian Insider' Selasa lepas antara lain mendakwa, 'hak keistimewaan' orang Melayu tidak disebut sebaliknya Perkara 153 hanya menjelaskan mengenai 'kedudukan istimewa' masyarakat Bumiputera.

Anak kepada ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu juga mendakwa, hak Melayu hanyalah sekadar falsafah serta ideologi dan bukannya undang-undang atau Perlembagaan selain menegaskan agenda Melayu yang terkandung dalam Perkara 153 juga bersifat sementara. - BERNAMA

* Dia tidak boleh lupa kalah kepada puteri reformasi ini...

No comments: