Monday, July 23, 2012

Namewee Bimbang Jika Rakyat Malaysia Belum Memaafkannya

PETALING JAYA: Pengarah filem dan penyanyi rap Namewee berkata dia masih bimbang dengan penerimaan masyarakat ekoran kontroversi video menghina lagu Negaraku yang pernah dicetuskan olehnya sebelum ini.


Pemilik nama penuh Wee Meng Chee, 29, berkata, walaupun kontroversi yang berlaku pada sekitar 2007 itu sudah selesai, dia masih tertanya-tanya adakah masyarakat Malaysia sudah dapat memaafkan kesilapannya.
“Saya sering disalahertikan dalam perkara yang saya lakukan. Sebagai contoh, 95 peratus kandungan lagu rap dan filem saya memaparkan mesej positif, keharmonian dan kasih sayang tetapi kandungan berunsur kontroversi sebanyak 5 peratus juga yang dapat perhatian khalayak.
“Terus-terang, sehingga kini saya masih tertanya-tanya sama ada masyarakat sudah dapat menerima saya sepenuhnya selepas apa yang tercetus (kontroversi video) sebelum ini,” luahnya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
Namewee menimbulkan kontroversi apabila dikatakan menghina negara melalui lagu Negaraku di laman YouTube pada 2007. Kes itu bagaimanapun ditutup selepas pihak polis berpuas hati dengan hasil soal siasat yang dijalankan.
Katanya, perasaan bimbang itu sekaligus membuatkan dia enggan meletakkan sebarang sasaran kutipan terhadap filem keduanya berjudul Hantu Gangster yang mula ditayangkan pada 9 Ogos depan.
“Kutipan filem pertama Nasi Lemak 2.0 ditayangkan pada 8 September 2011 adalah sebanyak RM7 juta, membuatkan saya tidak berani letak sasaran tertentu pada filem kali ini.

“Jujurnya, saya bimbang kalau orang belum dapat melupakan kontroversi itu sekaligus menjejaskan kutipan Hantu Gangster pula.
“Sebab itu. saya tiada masa hendak fikir mengenai soal kutipan. Saya hanya harap kutipan filem kali ini konsisten dan tidak mengecewakan,” ujarnya.

Mengenai Hantu Gangster yang bertemakan dunia gengster, Namewee berkata, dia mendapat ilham tema berkenaan berdasarkan pengalaman sebenar kehidupan datuknya di Muar, Johor.
“Saya dapat ilham filem ini daripada kisah sebenar hidup datuk saya. Ketika muda dulu, dia menjalankan perniagaan kedai kopi yang sering dikunjungi kumpulan-kumpulan gengster.

“Menurut cerita datuk, kumpulan-kumpulan gengster ini wujud bagi melindungi kaum dan penduduk dan bukannya untuk menunjukkan kuasa atau bertindak jahat.

“Dalam filem ini, elemen itu hanyalah metafora atau simbolik kerana di sebaliknya saya mahu paparkan mesej perpaduan antara kaum,” katanya yang kini sibuk di lokasi filem ketiga berjudul Karaking untuk tayangan Tahun Baru Cina nanti.

Hantu Gangster dibintangi antaranya Namewee sendiri, Farid Kamil, Diana Danielle, Taiyuddin Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan dan Datuk David Arumugam.
Ia terbitan Prodigee Media Entertainment dan bakal ditayangkan pada 9 Ogos depan bersempena bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Raya. - Mstar

No comments: