BeritaPanas
Monday, January 26, 2009
ADUN Bota sertai PKR, BN Perak bincang malam ini

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota di Perak, Datuk Nasarudin Hashim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa hari ini.

Ia diumumkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat parti itu dekat sini pukul 2.30 petang tadi.

Dalam pada itu, BN Perak mengadakan mesyuarat khas kira-kira pukul 9 malam ini yang antara lain membincangkan isu Nasarudin meninggalkan Umno untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi, Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahari berkata, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali di pejabat Umno di Ipoh.

Dengan perkembangan ini, Nasarudin yang juga bekas Ahli Parlimen Parit merupakan ADUN pertama dari Barisan Nasional (BN) dan ADUN kedua menyertai PKR sejak 8 Mac lalu.

Pada November lalu, ADUN Bebas Ngemah di Sarawak, Gabriel Adit menyertai PKR - salah satu anggota komponen Pakatan Rakyat.

Nasarudin juga merupakan bekas Pengerusi Felcra Berhad selama dua tahun sejak Oktober 2006.

Nasarudin ketika mengumumkan keputusannya itu berkata, beliau bertindak sedemikian setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota.

Nasarudin, 58, berkata, beliau amat yakin dengan kepimpinan PKR yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.

"Setelah mengambil pertimbangan terutamanya melihat perkembangan suasana politik khasnya melihat arah tuju sokongan rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu serta keadaan yang wujud dalam parti dan kepimpinan Umno masa kini, saya dengan ini mengambil keputusan untuk keluar dari Umno dan seterusnya menyertai PKR iaitu salah satu parti dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui belum memaklumkan keputusan itu kepada Umno dan akan menulis surat dalam waktu terdekat.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi.

Nasarudin dari Umno memperoleh 6,556 undi.

Pada pilihan raya umum ke-12, Pakatan Rakyat yang kini memerintah Perak, menguasai 31 kerusi DUN manakala BN pula 28 kerusi.

Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, beliau gembira dengan perkembangan itu kerana Nasarudin merupakan seorang tokoh Umno yang penting di Perak terutama dalam Bahagian Parit.

"Beliau seorang yang aktif dalam Umno dan dianggap sebagai tokoh bukan sahaja di Bahagian Parit malah mempunyai potensi yang amat besar di Perak," katanya.

Anwar berkata, hal itu merupakan satu anjakan perubahan memandangkan salah satu sebab Nasarudin menyertai PKR adalah atas kehendak rakyat di kawasannya.

"Saya melihat ini sebagai satu permulaan baru dan anjakan perubahan dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Ketika ditanya berhubung PKR Pulau Pinang yang mendakwa kerajaan negeri yang dikuasai DAP tidak mengadakan perbincangan dengan parti itu sebelum membuat sesuatu keputusan, Anwar berkata, beliau telah menerima laporan berhubung perkara itu daripada kerajaan negeri pagi tadi.

"Itu adalah isu di peringkat kerajaan negeri. Kita akan adakan perbincangan di peringkat Pakatan Rakyat di Pulau Pinang," katanya.

MESYUARAT BN

Dalam pada itu, BN Perak akan mengadakan mesyuarat kira-kira pukul 9 malam ini yang antara lain akan membincangkan isu 'lompat parti' Nasarudin.

Setiausaha BN Perak, Datuk Ramly Zahari berkata, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali di pejabat Umno di Ipoh.

"Ada dua tiga perkara yang akan kita bincangkan hari ini. Antaranya adalah isu Datuk Nasarudin dan postmortem pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini," katanya lewat petang ini.

Beliau bagaimanapun menafikan bahawa mesyuarat ini diadakan mengejut kerana ia sudah dirancang sejak tiga minggu lalu.

"Bukan mengejut. Kita dah bincang nak adakan sejak dua tiga minggu sudah dan malam ini kita berkesempatan adakan sebab esok cuti Tahun Baru Cina," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut akan dihadiri oleh semua ADUN BN di Perak.

Mengulas lanjut mengenai penyertaan Nasarudin ke dalam PKR, Ramly berkata, beliau berasa terkejut mendengar berita itu hari ini.

"Saya memang terkejut. Sebelum ini memanglah ada dengar khabar angin mengenai hal itu tapi biasalah khabar-khabar angin mengenai lompat parti memang selalu kedengaran sejak pilihan raya umum tempoh hari.

"Sepanjang pengetahuan saya, beliau (Nasarudin) tidak pernah memberitahu secara peribadi kepada sesiapa terutamanya kepada Datuk Seri Tajol sebagai Pengerusi BN.

"Jika benar beliau merasa terkilan tentang sesuatu perkara, beliau harus membincangkannya sesama kita," katanya.

Ditanya sama ada keputusan Nasarudin disebabkan beliau tewas dalam pertandingan jawatan Ketua Umno Bahagian Parit pada pemilihan dua bulan lalu, Ramly berkata, Nasarudin perlu memandang kekalahannya sebagai adat pemilihan.

"Kemungkinan beliau ini telah berjumpa dengan kepimpinan tertinggi PKR dan telah ditawarkan 'gunung permata' jika menyertai parti itu," katanya. - Mstar