Monday, February 16, 2009

Gambar "bogel" di internet, Exco Selangor buat laporan polis


PETALING JAYA: Kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat pula dilanda masalah dengan tersebarnya gambar berkeadaan "bogel" Elizabeth Wong (gambar), salah seorang exco negeri itu.


Malam tadi, Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Bukit Lanjan telah membuat laporan di Balai Polis Damansara berhubung gambar-gambar "bogelnya" yang kini disebarkan menerusi internet dan MMS.


Maklumat-maklumat awal menunjukkan gambar-gambar beliau berada dalam keadaan "berbogel" - ketika sedang tidur di atas sofa, diambil tanpa pengetahuannya.


Difahamkan gambar itu diambil menggunakan telefon bimbit sebelum pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pihaknya akan membincangkan isu itu di peringkat parti dan mesyuarat exco negeri, Rabu ini.


Khalid berkata, adalah penting untuk mendengar penjelasan daripada Wong berhubung isu tersebut dan membiarkan siasatan dijalankan terhadap laporan polis yang telah dibuat Wong semalam.


"Kita akan adakan perbincangan mengenainya dan saya rasa, adalah penting memberi mangsa (Wong) ruang untuk memberi penjelasan kepada kita.


"Adalah tidak adil untuk kita buat kenyataan sekarang tanpa penjelasan yang sesuai. Mana tahu jika ada orang yang mahu memerangkap beliau," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.


Khalid berkata, pihaknya terbuka untuk menghadapi sebarang kemungkinan berhubung insiden yang menimpa Wong.


"Bagaimanapun, perkara yang terbaik adalah memberi peluang kepada mangsa hak untuk didengar dan kita akan mendengar penjelasannya.


"Kita akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri," katanya.


Khalid berkata, Wong telah berjumpa dengan beliau dan menerangkan mengenai insiden itu.


"Beliau dah mengaku dan telah buat laporan polis. Sebab itu saya bagi masa kepada beliau untuk mengambil tindakan apa yang perlu," katanya.


Wong merupakan salah seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR). Khalid pula ialah Pengerusi PKR Selangor.


Dalam pada itu, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya "sedih" dengan perkembangan terbaru ini.


Katanya, ia merupakan paten berterusan pihak-pihak yang mahu menyerang wakil rakyat PKR.


Blog Wong tidak memuatkan sebarang kenyataan mengenai isu itu setakat tengah hari ini.


Difahamkan beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi petang ini.


Seorang lagi Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok berkata, Wong tidak perlu meletakkan jawatan kerana ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu.


Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan satu laporan mengenainya telah dibuat tetapi polis masih menyiasat isu tersebut.


Gambar-gambar berkenaan dipercayai diambil menggunakan telefon bimbit, khususnya sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu.


Pagi tadi, kakitangan Wong telah menutup pintu ke pejabatnya yang terletak di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam.


Pembantu khasnya, Chua Yee Ling berkata, wakil rakyat berkenaan sedang menghadiri mesyuarat dan akan mengeluarkan kenyataan petang ini.


Wong memperoleh 12,125 manakala pencabarnya, Yong Dai Ying dari BN dan Gerakan menerima 6,970 undi.


Wong telah memenangi kerusi Bukit Lanjan dengan majoriti melebihi 5,000 undi. - Mstar

No comments: