BeritaPanas
Monday, March 2, 2009
Krisis Perak: Polis beri amaran jangan sertai perhimpunan

IPOH: Polis akan mengambil tindakan ke atas orang ramai yang mengadakan perhimpunan di kawasan pentadbiran Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak berikutan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual esok tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah berkata, pentadbiran Bangunan SUK Negeri telah memaklumkan kepada polis yang sidang DUN tidak akan berlangung esok dan bangunan tersebut hanya membenarkan pekerja-pekerja pejabat SUK dan orang-orang yang mendapat kelulusan sahaja.

“Mengikut kenyataan Setiausaha Dewan Negeri yang diterima hari ini, sidang tergempar dewan negeri yang diadakan esok tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak”, katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu beliau mengingatkan orang ramai bahawa perhimpunan berdekatan atau di kawasan Bangunan SUK Perak adalah perhimpunan haram, katanya.

Zulkefli berkata, mereka yang tidak mematuhi arahan tersebut akan dianggap sebagai ahli perhimpunan haram dan boleh diambil tindakan undang-undang sewajarnya.

Anggota polis akan ditempatkan di kawasan tersebut bagi memastikan orang ramai mengikut arahan yang dikeluarkan.

Pada Jumaat lepas, Speaker DUN, V. Sivakumar telah mengeluarkan kenyataan memanggil satu sidang tergembar dewan esok bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan di negeri ini

http://www1.mstar.com.my