Monday, March 2, 2009

Zambry Fail 2 kes terhadap Speaker, Mahkamah Tinggi Dengar Permohonan Pagi Esok


IPOH: Dua kes difailkan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar - kira-kira 15 jam sebelum ia dijadual mengadakan sidang tergempar yang dipanggil minggu lalu.

Kedua-duanya difailkan beberapa jam selepas Sivakumar dikemukakan notis oleh Exco kerajaan negeri Perak, Mohd. Zahir Abdul Khalid untuk dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas dakwaan telah menghina Sultan Perak dan salah laku.

Dalam kes pertama, Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir mahu mahkamah mengeluarkan perintah bahawa keputusan Sivakumar menggantung beliau dan enam Exco yang lain bercanggah dengan perlembagaan negeri.

Zambry dan enam Exco kerajaan negeri memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan keputusan Speaker DUN yang menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN sebagai terbatal dan tidak sah.

Dalam saman pemula yang difailkan petang tadi, Zambry dan enam Exco berkenaan memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry daripada menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan dan selama 12 bulan terhadap enam Exco berkenaan adalah menyalahi Undangundang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya, Zambry berkata, beliau difahamkan Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan itu pada 9 pagi esok.

Zambry dan enam Exco berkenaan yang merupakan plaintif turut memohon supaya mahkamah mengisytiharkan mereka berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang DUN dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan.

Sivakumar telah memanggil persidangan tergempar DUN Perak esok dan dilaporkan telah menghantar notis kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kecuali Zambry, enam Exco berkenaan dan tiga lagi ADUN Bebas.

Dalam tuntutannya itu, Zambry berkata, beliau mempunyai hak untuk menghadiri sidang DUN.

Sidang tergempar dijadualkan 10 pagi.

Kes itu difailkan pukul 3.55 petang dan notis pula diserahkan kepada Sivakumar menerusi kakitangannya pukul 5 petang.

Dalam pada itu, satu lagi kes difailkan oleh tiga ADUN Bebas, yang keluar daripada PKR dan DAP - kini menyokong kerajaan negeri baru pimpinan Barisan Nasional (BN).

Sivakumar yang merupakan Speaker yang dilantik oleh kerajaan sebelum ini - Pakatan Rakyat, dilaporkan akan meneruskan sidang tergempar itu.

Ia dimaklumkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

http://www1.mstar.com.my

No comments: