Sekumpulan wartawan ingin mengirim surat bantahan kepada kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad susulan berita Kosmo! yang mendedahkan latar belakang pengarah terkenal Yasmin Ahmad.
Kumpulan wartawan itu yang dianggotai antaranya oleh Rose Ismail, bekas editor kanan New Straits Times, merancang mengirim surat itu kepada penerbit Kosmo! jam 5 petang ini.
Rose bersama beberapa temannya juga meminta wartawan yang rasa berang dan menyampah agar turut serta dalam kempen tersebut.
Salinan surat itu akan dikirim kepada Kosmo! dan menteri dalam negeri, emel Rose dipetik oleh penulis blog terkenal Ahiruddin Atan hari ini.
Surat kepada pengerusi kumpulan media berpengaruh besar itu Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, seperti diterbitkan di Rocky Bru, mengecam keras dengan menyifatkan laporan itu "hari paling gelap dalam sejarah kewartawanan Malaysia."
Isnin lalu, tabloid harian tersebut melaporkan pengarah filem itu pernah terpilih sebagai naib juara bintang RTM pada 1975 dan penyerang bolasepak Melaka pada zaman persekolahannya.
Malaysiakini gagal mendapatkan reaksi Kosmo! setakat ini. Difahamkan pengarangnya Baharom Mahusin tidak berada di pejabat.
Susulan artikel tersebut, agensi-agensi iklan turut merancang memulaukan akhbar tersebut dan harian berbahasa Cina Kwong Wah Yit Poh selama sebulan mulai 10 Ogos.
Awal minggu ini, aktivis popular Datuk Marina Mahathir mengecam keras akhbar berkenaan dan menggesa pembaca memulaukan akhbar berkenaan.
"Beginikah caranya kita mengenang mereka yang pernah memberi sumbangannya kepada negara?
"Apakah ini maksudnya Satu Malaysia?" katanya di blog peribadi RantingsbyMM Isnin lalu.
- Malaysiakini
No comments:
Post a Comment