Friday, August 7, 2009

Pasukan inkues tinjau lokasi kematian Teoh sejam


SHAH ALAM: Pasukan inkues kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada Exco kerajaan Selangor, meneruskan inkues buat hari keempat pagi ini dengan meninjau lokasi kematian mendiang di Plaza Masalam di sini selama kira-kira sejam.

Bagaimanapun pada akhir tinjauan itu, peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo tidak berpuas hati dengan hasil siasatan pihak polis berhubung kematian Teoh, yang ditemui mati di koridor Tingkat 5 plaza itu 16 Julai lalu.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan pasukan inkues yang diketuai Koroner Azmil Muntapha Abas di tempat kejadian pagi tadi terdapat beberapa perkara yang perlu disiasat dengan lebih lanjut oleh pihak polis, yang mungkin boleh membantu menentukan punca kematian Teoh.

"Kami melihat secara teliti tempat kejadian iaitu di tingkat 14 yang menempatkan pejabat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan juga tingkat 15 yang turut dikatakan terdapat sebahagian pejabat mereka.

"Kami juga telah meninjau di tempat mayat ditemui.

"Pada masa itu kami memohon agar pihak polis menyiasat dua atau tiga perkara baru yang kita lihat... saya rasa polis akan beri bantuan dan kerjasama," katanya ketika ditemui selepas tinjauan itu.

Tinjauan ke lokasi kejadian di Plaza Masalam itu diadakan dalam tempoh lebih satu jam.

Ditanya apakah perkara-perkara baru yang ditemuinya itu, Gobind bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Saya tak boleh beri butir-butir lanjut tentang isu itu, saya rasa ia masih dalam siasatan polis," katanya. - Mstar

No comments: