Thursday, August 13, 2009

Perobohan Kg Buah Pala ditangguh kepada 1 september


Perobohan Kg Buah Pala ditangguh
Operasi untuk merobohkan rumah di Kampung Buah Pala telah ditangguhkan kepada 1 September selepas berlangsungnya rundingan antara penduduk, pemaju dan pihak polis pagi ini.

Rundingan membabitkan pengarah eksekutif syarikat pemaju Numesto Sdn Bhd, Thomas Chan, penduduk dan ketua polis George Town Azam Abd Hamid.

Ia berlangsung selama sejam di pondok polis bergerak berhampiran pintu masuk utama ke jalan tersebut.

Penolong Setiausaha Persatuan Penduduk Kampung Buah Pala C Tharmaraj memberitahu Malaysiakini bahawa penduduk diberi tempoh sehingga 1 September untuk mengosong kawasan tersebut.

Penduduk di situ menyuara rasa lega selepas dimaklumkan oleh Tharmaraj mengenai keputusan terbaru itu.

Pada masa ini, bailif mahkamah sedang berunding dengan penduduk untuk menandatangani satu dokumen, yang kandungannya tidak lagi dapat dipastikan.

Peguam penduduk terbabit, Darshan Singh Khaira dalam perjalanan ke situ. Beliau beredar lebih awal untuk mengendalikan satu kes di mahkamah.

Sebelum itu, beberapa buah jentolak memasuki kampung itu untuk operasi meruntuhkan rumah-rumah di kampung itu yang terbabit dalam pertikaian berlarutan sejak April.

Penduduk yang membentuk perisai manusia, juga bertembung dengan unit pencegah rusuhan LSF dalam beberapa pergelutan.

Penduduk mendakwa mereka telah dipukul oleh anggota polis unit berkenaan. Seorang wanita turut jatuh pengsan dalam pergelutan tersebut.

Najis lembu dilaporkan disediakan di kawasan tersebut untuk digunakan sebagai ’senjata’ ke atas pekerja-pekerja syarikat pembinaan.

Malaysiakini

No comments: