BeritaPanas
Tuesday, August 18, 2009
Polis berkas lelaki peras ugut parti bertanding di P Pasir
Polis menahan seorang lelaki dipercayai cuba memeras ugut sebuah parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata lelaki berkenaan direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

"Ahad lalu, lelaki berkenaan bersama sekumpulan lelaki dipercayai telah pergi ke markas parti itu dan meminta wang perlindungan daripada mereka.

"Kumpulan dipercayai samseng itu meminta parti politik terbabit menyerahkan sejumlah wang jika mahu keselamatan mereka di markas berkenaan terjamin," katanya dalam sidang akhbar hari ini, lapor Bernama.

Ayub berkata penyokong parti berkenaan yang bimbang tentang keselamatan mereka telah membuat laporan polis.

"Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan lelaki tersebut pada sebelah malam kira-kira sejam selepas kejadian ugutan berkenaan," katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Ayub juga berkata polis berharap keadaan sepanjang kempen di sekitar Permatang Pasir yang kini terkawal akan berlanjutan sehingga hari pengundian 25 Ogos ini. - Malaysiakini