BeritaPanas
Sunday, September 6, 2009
ADUN BN ugut letak jawatan
GEORGETOWN - Satu lagi pilihan raya kecil mungkin berlaku di Pulau Pinang dalam tempoh terdekat jika beberapa isu yang dianggap remeh tidak ditangani segera oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

Kali ini akan membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO yang mewakili BN kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan layanan diterima yang dianggap tidak adil dan terasa dipinggirkan.

Jika tiada pilihan lain dan keadaan masih tidak berubah, beliau nekad untuk mengosongkan kerusi itu dengan meletakkan jawatan sebagai ADUN kerana tidak mahu terus dipersalahkan oleh penduduk yang menganggapnya tidak mampu buat kerja dan membantu mereka.

Ketika ditemui Sinar Harian, ADUN itu melahirkan rasa kecewa kerana tidak mendapat kerjasama dan sokongan daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan di Pulau Pinang termasuk dari segi menyalurkan bantuan tertentu untuk faedah rakyat di kawasannya.

Beliau berkata, keadaan itu mungkin berlaku disebabkan pengaruh atau tekanan pihak tertentu untuk meminggirkannya daripada arus politik UMNO di peringkat bahagian akibat kurang persefahaman dan perbezaan pendapat atau pendirian.

“Mana boleh bantuan cuba disekat untuk ADUN tertentu kerana semua ini adalah untuk keperluan rakyat. Kenapa sesetengah peruntukan tidak boleh disalurkan terus kepada saya atau penduduk di kawasan saya tetapi perlu dirujuk kepada orang tertentu terlebih dahulu. Jika tidak mendapat ‘perkenan’ daripada mereka, maka bantuan itu tidak akan sampai ke kawasan saya,” katanya.

Menurutnya, walaupun perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi ia kini menjadi amalan mereka dan begitu ketara sejak pilihan raya umum lalu.

“Kenapa ketidakadilan yang dilakukan oleh pihak tertentu terhadap sesetengah ADUN dibiarkan berterusan kerana ia turut memberi kesan kepada saya untuk membantu rakyat.

“Ini tidak adil kerana agensi Kerajaan Persekutuan tertentu tidak mahu memberi sokongan dan bantuan secara terus kepada saya dalam menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau begitu kecewa dengan pentadbiran beberapa agensi berkenaan yang sudah lari daripada matlamat untuk menyalurkan mesej dan bantuan Kerajaan Persekutuan kepada rakyat jelata.

“Mereka kini seolah-olah dilihat mencampuri urusan politik dan menyebelahi pihak tertentu dalam pergolakan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata dalam keadaan itu, ADUN sahaja yang nampaknya terpaksa bertungkus lumus menjaga dan menolong rakyat tetapi agensi yang terlibat secara langsung untuk membantu tidak memberi sokongan kepada wakil rakyat.

Bagaimanapun, beliau masih memberi peluang kepada agensi berkenaan dan pihak terbabit agar dapat mengubah sikap dan tidak memilih bulu untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat.

“Jika masih tiada perubahan, saya akan meletak jawatan selepas Hari Raya Aidilfitri ini agar diganti dengan wakil rakyat baru yang lebih sealiran dengan pihak tertentu,” katanya. - Sinar Harian