BeritaPanas
Tuesday, September 15, 2009
Majlis Peguam desak Musa dan Hisham letak jawatan, saman kerajaan
KUALA LUMPUR,16 MEI (SK) - Kira-kira 1400 para peguam dari Majlis Peguam mendesak agar Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Menteri Dalam Negeri Hishamudin Tun Hussein meletakan jawatan.

Desakan berkenaan dibuat dalam satu deklarasi ketika mesyuarat agung luar biasa yang diadakan oleh Majlis Peguam semalam setelah polis bertindak menahan kira-kira lima peguam ketika memberikan khidmat guaman.

Lima peguam berkenaan Fadiah Nadwa Fikri, Syuhaini Safwan, Puspawati Rosman, Ravinder Singh dan Murnie Hidayah Anuar ditahan pada 7 Mei lalu ketika memberikan bantuan kepada sekumpulan aktivis yang ditahan kerana menyertai acara nyalaan lilin bagi menyokong aktivis Bersih, Wong Chin Huat.

Antara lain, mesyuarat semalam juga bersetuju untuk memfailkan saman terhadap Musa, pegawai penyiasat di Balai Polis Brickfields dan Pihak Kerajaan berhubung penahanan lima peguam berkenaan.

Selain itu, mereka juga akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Najib Tun Razak; Ketua Hakim Negara, Zaki Azmi dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis.

Pada 8 Mei lalu, kira-kira 200 peguam dilaporkan peguam mengadakan bantahan penangkapan lima peguam terbabit pada hari sebelumnya di kompleks mahkamah Kuala Lumpur

Kelima-lima mereka dibebaskan pada 8 Mei iaitu hari yang sama, Wong Chin Huat yang ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bebas. - SuaraKeadilan