Friday, September 18, 2009

Perjuangan melawan ISA tetap berterusan

Perjuangan untuk memansuhkan ISA akan tetap berterusan. Biarpun kerajaan Malaysia membebaskan lima tahanan ISA semalam, akta zalim tersebut masih lagi ada.
Kem Kamunting masih belum ditutup dan masih ada yang didalam tahanan. Dibawah adalah kenyataan media dari GMI berhubung dengan pembebasan lima tahanan ISA semalam:
GERAKAN MANSUHKAN ISA
Kenyataan Akhbar: 16 September 2009

Lima Tahanan ISA Bebas Bersyarat Setelah 2 – 8 tahun Dizalimi


1. Semalam, 15 September 2009, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Hishammuddin Hussein mengumumkan seramai 5 orang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan. Menurutnya, pembebasan dibuat setelah beliau berpuashati bahawa semua tahanan berkenaan telah menunjukkan respons pemulihan yang positif dan telah melahirkan kesedaran dan keinsafan atas tindakan mereka terdahulu. Katanya lagi, beliaulah yang mengharapkan sangat pembebasan tersebut dapat dilakukan sebelum meraikan Hari Raya supaya tahanan dapat bersama dengan sanak saudara dalam Hari Raya tahun ini.

2. Lima tahanan tersebut yang dituduh sebagai anggota Jemaah Islamiah ialah Mat Sah Mohd Satray, Dr Abdullah Daud, Mohd Nasir Ismail @ Hassan, Mohd Kamil Hanafiah dan Mohd Amir Hanafiah. Mat Sah Mohd Satray dan Dr Abdullah Daud ditahan sejak 2002 manakala 3 lagi ditahan sejak Mei 2007. Kelima-lima dibebaskan secara bersyarat di bawah Akta Kediaman Terhad atau Restricted Residence Act 1933 (RRA). Ini bermakna mereka tidak bebas sepenuhnya dan perlu melapor kepada balai polis dalam daerah mereka setiap minggu di samping setiap perjalanan keluar daerah perlu mendapat keizinan pihak polis.

3. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyambut baik pembebasan lima tahanan berkenaan. Sudah tentu pembebasan tersebut disambut gembira dan penuh kesyukuran oleh isteri, anak-anak dan keluarga tahanan yang telah terpaksa menanggung kesukaran sekian lama. GMI tumpang gembira bersama mereka terutama buat Puan Norlaila Othman, isteri kepada Mat Sah Mohd Satray. Puan Norlaila merupakan Ahli Jawatankuasa GMI yang telah berjuang dalam kempen anti-ISA dengan tabah dan gigih.

4. GMI percaya pembebasan ini adalah hasil usaha kempen yang gigih dan berterusan selama ini bagi menuntut semua tahanan dibebaskan dan ISA dimansuhkan. Mesej yang lantang dan jelas telah dilontarkan oleh puluhan ribu rakyat Malaysia ketika Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 yang lalu. Sudah tentu Kerajaan tidak akan mengakui terpaksa akur dengan desakan ini, namun yang pasti desakan berkenaan bukan retorik dan bukan emosi seperti insiden kepala lembu. Ia menuntut kepada perkara asas iaitu hak keadilan dan kebebasan untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan ia disandarkan kepada sejarah kezaliman dan penyeksaan yang nyata lagi terbukti.

www.aminiskandar.com

No comments: