Wednesday, September 30, 2009

Penghalang PR untuk menewaskan BN dalam PRU 13

SEPT 30 — Kemenangan Democratic Party of Japan (DPJ) menewaskan Liberal Democratic Party (LDP) dalam pilihanraya umum Jepun pada 30 Ogos yang lalu telah mengejutkan peminat-peminat politik di seluruh dunia.

LDP telah memerintah Jepun semenjak 1955 telah ditewaskan oleh DPJ yang ditubuhkan pada tahun 1996. Kemenangan DPJ telah memberikan petunjuk kepada masyarakat dunia bahawasanya tidak ada kuasa didalam dunia ini yang akan kekal selama-lamanya.

DPJ telah memenangi 308 kerusi berbanding LDP yang hanya mendapat 119 kerusi di parlimen. Yukio Hatoyama telah diangkat menjadi Perdana Menteri Jepun yang baru bagi menggantikan Taro Aso.

Kemenangan DPJ memberikan impak dan pengaruh secara langsung dalam politik Malaysia kerana situasinya hampir serupa dimana parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini dikenali sebagai Perikatan telah memerintah negara dalam satu tempoh yang begitu lama iaitu semenjak Semenanjung Malaysia merdeka pada tahun 1957.


Politik Malaysia telah mengalami perubahan yang besar selepas Pilihanraya 8 Mac 2008. Buat pertama kalinya semenjak 1969, kuasa 2/3 BN telah dinafikan di parlimen oleh gabungan pembangkang yang menubuhkan Pakatan Rakyat (Pakatan) selepas pilihanraya umum (PRU) tersebut.

Kemenangan DPJ di Jepun telah memberikan harapan kepada Pakatan untuk merampas pemerintahan negara pada PRU 13. Selain daripada itu, ianya turut membuka mata pemimpin BN mengenai kemungkinan mereka akan tewas dalam PRU 13.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad menyedari tentang situasi ini. Dalam tulisan di blognya bertajuk “The Lesson from Japan” (Pelajaran dari Jepun) pada 11 September, Dr Mahathir menyatakan bahawa tidak mustahil bagi BN untuk tewas dalam PRU 13.

Menurutnya, rasuah telah menjadi satu budaya dalam Umno dan BN. Ramai pemimpin BN kini sombong dan tamak akan kuasa. PRU 8 Mac merupakan satu signal yang jelas diberikan oleh pengundi Malaysia kepada pemerintah BN.

Menurut Dr Mahathir lagi, BN hanya mampu bertahan jika terdapat perubahan drastik dilakukan oleh pentadbiran Najib. Selain daripada itu, kelemahan pentadbiran Pakatan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan akan turut membantu BN untuk terus berkuasa.

Ertinya, bekas PM Malaysia yang telah memerintah Malaysia lebih daripada 22 tahun itu juga sedar akan hakikat ini. Perubahan pemerintahan negara bukanlah satu perkara yang mustahil untuk berlaku di Malaysia.

PKR, PAS dan DAP tahu, jika mereka bergabung dan bersatu tenaga, tidak mustahil mereka akan mengambil alih Putrajaya. Ini disokong lagi dengan kemenangan demi kemenangan dalam pilihanraya kecil (PRK) yang berlangsung selepas PRU 8 Mac.

Trend pengundi-pengundi di Semenanjung Malaysia nampaknya masih berpihak kepada Pakatan. Pengundi-pengundi muda dan majority bukan Melayu teguh bersama Pakatan. Trend ini dapat dilihat dalam PRK-PRK lalu.

BN masih mendapatkan sokongan padu daripada pengundi-pengundi Melayu yang majoritinya terdiri daripada golongan tua dari generasi sebelum merdeka dan generasi pertama selepas merdeka.

Selain daripada itu, BN mempunyai kelebihan undi pos untuk memastikan kemenangan mereka. Contohnya di Bagan Pinang, terdapat 5,168 pengundi pos berdaftar yang terdiri daripada tentera dan polis.

Masalah utama bagi undi pos ini ialah tiadanya prinsip “kerahsiaan undi” bagi pengundi-pengundinya. Setiap anggota tentera dan polis yang mengundi perlu mengepilkan sekali salinan kad ID mereka di kertas undi.

Amalan ini secara langsung telah melanggar prinsip penting dalam pilihanraya iaitu “secrecy of voting” atau kerahsiaan undi.

Pendek kata pada ketika ini BN sedang berada dalam keadaan nazak. Hanya undi golongan tua dan undi pos sahaja yang boleh membantu mereka bertahan.

Akan tetapi, terdapat halangan besar bagi Pakatan untuk mengambil alih Putrajaya pada PRU 13. Halangan ini bukanlah faktor luaran tetapi faktor dalaman.

Terdapat watak-watak dalam Pakatan yang tidak henti-henti membuat “kacau” dan lebih menguntungkan BN daripada gabungan pembangkang itu sendiri. Di negeri Selangor umpamanya, Dtuk Hasan Ali, salah seorang Exco Kerajaan Negeri, tidak henti-henti “mengganggu” pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim selaku menteri besar.

Jika sebelum ini heboh dengan isu “beer”, kini Hasan mengganggu lagi dalam isu Selcat. Hasan secara terbuka mengkritik Selcat yang beliau sifatkan sebagai “membuli” pegawai kerajaan.

Tindakan Hasan telah menimbulkan kemarahan rakan-rakan beliau dalam kerajaan Selangor dan Pakatan. Pengerusi Selcat yang juga Speaker DUN Selangor, Teng Chang Kim mendakwa Hasan berbohong.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Shah Alam baru-baru ini, Teng berkata, Hasan telah dilaporkan mendakwa beliau telah menuduh pegawai daerah Klang, Bakhtiar Hussin sebagai “tidak cekap” dan “tidak layak”.

Teng mendakwa, Hasan kini berbohong lagi untuk menutup pembohongan pertamanya. Teng yang juga ADUN Sungai Pinang berkata beliau bimbang tindak tanduk Hasan itu boleh menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.

Umno dan BN kini boleh berehat seketika dalam menyerang kerajaan Selangor. Dengan adanya orang-orang seperti Hasan, ketua pembangkang dari Umno, Datuk Khir Toyo boleh menumpukan sepenuh masa terhadap siasatan MACC terhadap kes rasuahnya.

Setakat ini, tindak tanduk yang dilakukan oleh Hasan telah menyebabkan ramai pengundi-pengundi di negeri Selangor menyesal kerana memberikan undi kepada Pakatan terutamanya PAS.

Dasar-dasar yang cuba di bawa oleh yang dipertua PAS Selangor tersebut rata-ratanya adalah “agenda Umno”, anti anak muda dan bukan Melayu. Jangan terkejut jika Pakatan tidak mengambil tindakan tegas kepada orang-orang seperti Hasan, undi rakyat di Selangor akan beralih sejauh 360 darjah dari mengundi Pakatan kepada mengundi BN.

Selain Selangor yang pertama kali diperintah oleh parti selain BN, cita-cita Pakatan untuk mengambil alih Putrajaya mungkin tidak akan tercapai jika “orang-orang jahat” tidak dibersihkan daripada Pakatan yang mahu menjadi alternatif kepada BN.
www.aminiskandar.com

No comments: