BeritaPanas
Wednesday, September 30, 2009
Tsunami: Sekurang-kurangnya 34 maut di Samoa

Sebuah bot dari Malaloa Marina kelihatan terdampar di pinggir jalan utama di sebuah kampung di Fagatogo, Samoa Amerika selepas ombak tsunami yang berpunca daripada gempa bumi kuat melanda Samoa dan Samoa Amerika awal pagi Selasa. Sekurang-kurangnya 34 orang dilaporkan terbunuh dalam bencana itu.--fotoAP

PAGO PAGO (Samoa Amerika): Sekurang-kurangnya 34 dilaporkan terbunuh selepas ombak tsunami yang berpunca daripada gempa bumi kuat melanda Samoa dan Samoa Amerika awal pagi Selasa.

Sementara itu, sejumlah pekerja turut dilaporkan hilang selepas kemudahan Perkhidmatan Taman Negara di sini musnah dalam kejadian bencana itu.

Kenderaan dan manusia dihanyutkan ke laut selepas satu ombak deras melanda menyebabkan mereka melarikan diri ke kawasan tinggi dan berada di situ selama berjam-jam.

Dengan kekangan bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi, pegawai-pegawai bertugas bertungkus lumus untuk mendapatkan maklumat mengenai mangsa-mangsa dan kerosakan.

Gempa bumi itu dengan magnitud antara 8.0 dan 8.43 melanda sekitar waktu subuh kira-kira 20 batu (32 km) di bawah dasar laut, 120 batu (190 km) dari Samoa Amerika yang merupakan wilayah Amerika Syarikat yang didiami sehingga 65,000 penduduk dan terletak 125 batu (200 km) dari Samoa. AP