Friday, May 21, 2010

Bekas pengikut kesal kematian Abuya diputar belit

KUALA LUMPUR: Beberapa bekas pengikut Allahyarham Asaari Muhammad kecewa dengan tindakan ahli keluarganya memutarbelitkan fakta berhubung kematian bekas pengasas pergerakan Al-Arqam yang diharamkan itu.

Anggota kumpulan nasyid Hijjaz, Faizal Ahmad, berkata perbuatan ia perlu dihentikan segera kerana dikhuatiri mengelirukan orang ramai, selain memesongkan akidah umat Islam, khususnya penyokong setia Allahyarham. "Mengapa Abuya perlu muncul semula, untuk apa. Beliau didakwa akan muncul sebagai Putera Bani Tamim. Namun, ada ke disebut fasal mati hidup semula dalam hadis dan al-Quran yang menjadi pegangan kita selama ini," katanya. Faizal juga mendakwa tertipu ketika menyertai pergerakan itu pada awal 1990-an sehingga diharamkan kerana menyebarkan ajaran bertentangan dengan akidah.

"Cukuplah saya terbabit dalam pelbagai perkara melencong, selain ilmu pelik yang tidak diterima akal. Islam cukup sempurna. Hadis dan al-Quran juga sudah cukup untuk dijadikan pedoman hidup," katanya.

Faizal yang pernah menyertai kumpulan nasyid Al-Arqam, Nada Murni, turut menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan dan ulama campur tangan dalam isu itu kerana ia membabitkan isu akidah umat Islam.

Bekas penyanyi utama Raihan, Nazrey Johaney yang menyertai pergerakan itu daripada 1990 hingga 1994 tidak menafikan sifat taksub berlebihan menyebabkan segelintir pengikut terlalu mengagungkan Asaari sehingga sukar menerima kematiannya.
“Umat Islam memang ada sifat taksub. Ia tidak salah tetapi janganlah sampai ketaksuban melampau hingga menolak logik akal, hukum fitrah hingga akidah terpesong,” katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan Global Ikhwan yang tidak mahu dikenali, berkata berita kematian Asaari pada 13 Mei lalu amat mengejutkan dan malah ada antara pengikutnya seolah-olah hilang arah.

Beliau berkata, sebahagian besar pengikut tidak dapat menerima hakikat kematian pemimpin mereka dan ada menganggapnya masih hidup. - Bharian

No comments: