BeritaPanas
Saturday, May 22, 2010
Lesen judi ajar rakyat 'kencing berlari'
Exco pendidikan Selangor Dr Halimah Ali menggesa kerajaan menarik balik kelulusan lesen judi bola Sepak kepada Kumpulan Berjaya serta merta kerana dikhuatiri mengundang gejala negatif.

Katanya, tindakan kerajaan "mengiktiraf perjudian" akan memberikan kesan buruk dan membimbangkan, khususnya generasi muda.

"Kerajaan Malaysia yang memperakui perkara mungkar (judi) ini akan menjadi seperti pepatah 'guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari'.

"(Jadi) jangan marah kalau rakyatnya, terutama sekali pelajar muda 'kencing berlari'," kata Dr Halimah.

Dalam satu kenyataan semalam, Dr Halimah yang juga pengerusi jawatankuasa menangani masalah sosial Selangor berkata penglibatan dalam aktiviti perjudian menyebabkan pelbagai kesan langsung kepada sesebuah keluarga.

"Ramai isteri, anak-anak kepada golongan yang sudah terbabit di dalam aktiviti perjudian merana dan terbeban dengan natijah (yang) kompleks, yang membelenggu hidup mereka hingga ada yang mengancam nyawa.

"Ini (baru) perjudian kecil-kecilan," katanya lagi. - Malaysiakini