Saturday, May 22, 2010

MP Kapar dipanggil Selcat, dipercayai pertama beri keterangan

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam hari ini menerima notis menghadiri pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berhubung dakwaan penyelewengan dalam syarikat pasir kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

Wakil rakyat itu menerima notis petang tadi mengarahkan beliau hadir sesi pendengaran Selcat pukul 10 pagi pada 2 Jun, dipercayai orang pertama akan memberi keterangan.

“Saya terima notis perintah petang tadi... ya, saya akan hadir,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Notis perintah itu yang ditandatangani oleh Setiausaha Selcat Mohamad Yasid Bidin menyebut jika ingkar menghadiri sesi pendengaran seseorang itu boleh dihukum penjara dan didenda kerana menghina Dewan Undangan Negeri.

Ekoran penerimaan perintah itu, Ahli Parlimen tersebut mahu kesemua pihak dan saksi yang terlibat dipanggil memberi keterangan.

“Oleh kerana ini dikatakan sebagai sesi pendengaran yang telus, saya mahu semua yang terlibat dipanggil memberi keterangan,” kata Manikavasagam (gambar).

Kerajaan negeri merujuk kes itu kepada Selcat minggu lalu.

Kenyataan Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebelum ini menyebut, Selcat akan menyiasat dakwaan tersebut dari segi pentadbiran untuk mengenal pasti sama ada terdapat kelemahan pentadbiran yang perlu diperbaiki dan diperkuatkan oleh kerajaan negeri Selangor demi memastikan pentadbiran Kumpulan Semesta mematuhi dasar dan arahan kerajaan.

Selcat dipengerusikan oleh Speaker DUN Teng Chang Khim sendiri.

Pendengaran awam ini akan diadakan di Bilikan Gerakan, Tingkat 2, Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor selama tiga hari mulai 2 Jun ini, dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Kenyataann itu berkata, semua pihak yang terlibat secara langsung akan disaman hadir untuk memberi keterangan kepada Selcat.

Ahli Jawatankuasa Selcat terdiri daripada wakil Pakatan Rakyat Hanizah Talha, Azmin Ali, Saari Sungip dan Edward Lee manakala wakil Barisan Nasional pula ialah Ismail Sani dan Sulaiman Abdul Razak.

Dalam pada itu, Manikavasagam beliau telah menghadiri Ibu Pejabat Polis Daerah Klang pagi tadi untuk memberi keterangan berhubung aduan yang dibuatnya 14 Mei lalu. - The Malaysian Insider

No comments: