Saturday, May 22, 2010

Mohd Fauzi TNC baru UPM

KUALA LUMPUR: Pengarah di Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar di Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan, telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM).

UPM dalam satu kenyataan berkata pelantikan bagi tempoh tiga tahun itu berkuatkuasa 16 Mei. Mohd Fauzi, lulusan doktor falsafah dari University of York, United Kingdom, pernah menjadi Profesor Madya di Jabatan Sains Pertanian dan turut menganggotai Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Utara Malaysia dan Ahli Ganti LPU Universiti Kebangsaan Malaysia. Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha Abdullah, berkata pelantikan Fauzi akan dapat mendukung matlamat universiti untuk melahirkan graduan berkualiti, berdaya saing serta memperkasakan pelajar UPM dengan penguasaan kemahiran insaniah.

Katanya, Fauzi yang berpengalaman luas dalam pentadbiran hal ehwal pelajar dan pembangunan pelajar di kementerian boleh menyumbang idea serta membentuk perancangan strategik selari dengan matlamat dan wawasan UPM. - Bernama

No comments: