Saturday, May 22, 2010

Datuk Bandar KL diarah bayar RM750,000 kerana ubah suai arca tanpa kebenaran

KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur diarah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, hari ini membayar ganti rugi kepada seniman negara, Datuk Syed Ahmad Jamal Syed Jamil Sahil, RM750,000 kerana melakukan pengubahsuaian terhadap arca tanpa kebenarannya.

Hakim Datuk Azhar Mohamed juga memerintahkan Datuk Bandar membayar kos undang-undang dan faedah lapan peratus setahun dari tarikh saman itu difailkan pada 2003 sehingga selesai pembayaran. Beliau juga membenarkan permohonan Syed Ahmad Jamal untuk perintah deklarasi yang beliau boleh mencipta arcanya ''Puncak Purnama/Lunar Peaks'' di mana-mana tempat lain. Syed Ahmad Jamal memfailkan saman terhadap Datuk Bandar kerana melanggar haknya sebagai pencipta arca tersebut.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata, mereka sudah dan menyiapkan arca yang diperbuat daripada seramik kaca lambang Gunung Ledang yang juga menyamai logo United Malayan Banking Corporation (UMBC) pada 1985.

Katanya, pada November 1986, arca itu diserahkan kepada defendan untuk ditempatkan di taman mini UMBC di sini.

Bagaimanapun, pada 2000, Datuk Bandar telah melakukan pengubahsuaian ke atas arca itu apabila menggantikan kaca seramik dengan keluli tahan karat tanpa memaklumkan beliau atau meminta kebenarannya.
Beliau menegaskan pengubahsuaian itu nyata sekali mengubah karakter dan semangat kerja seninya dan plat keluli yang digunakan adalah berkarat menunjukkan kemahiran yang kurang bermutu dan menggunakan bahan yang substandard.

Beliau mendakwa usahanya sia-sia untuk berbincang berhubung perkara itu dengan Datuk Bandar.

Datuk Bandar dalam pernyataan pembelaannya, berkata Syed Ahmad Jamal telah mengetahui dari awal mengenai pembinaan arca dan taman mini tersebut yang kerana kerosakan, kecurian, vandalisme dan peredaran masa, arca itu terpaksa ditukar dan diubahsuai dengan rekaan lain serta penggunaan bahan yang lebih sesuai.

Syed Ahmad Jamal selepas keputusan itu berkata, "Ini adalah hari yang amat bererti untuk seniman." - Bernama

No comments: