Thursday, June 3, 2010

4 pelajar lahir anak luar nikah

KUALA TERENGGANU: Mengejutkan apabila empat pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di daerah ini melahirkan anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki masing-masing sejak pertengahan tahun lalu.

Difahamkan pelajar perempuan berkenaan yang terjebak dengan gejala sosial belajar di tingkatan tiga dan enam melahirkan anak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak April tahun lalu. Dalam kes terbaru, seorang pelajar tingkatan tiga pula melahirkan seorang bayi lelaki di HSNZ, Ahad lalu. Harian Metro difahamkan 16 lagi pelajar perempuan sekolah itu kini disahkan mengandung anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki termasuk rakan sekelas mereka.

Lantaran kes memalukan itu, ramai pihak termasuk ibu bapa pelajar terbabit dikatakan cuba menyembunyikan kelahiran berkenaan tetapi ia bocor apabila seorang pelajar mendedahkannya kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, baru-baru ini.

Berikutan itu, PIBG mengadakan mesyuarat tergempar malam kelmarin bagi membincang masalah itu tetapi pengetua sekolah berkenaan tidak hadir dalam mesyuarat itu.

Seorang ahli jawatankuasa PIBG sekolah terbabit yang enggan namanya disiarkan berkata pihak sekolah hanya mengetahui perkara itu selepas seorang pelajar melahirkan anaknya, baru-baru ini.

Katanya, dalam usaha menyembunyikan kejadian memalukan itu, seorang daripada pelajar terbabit sanggup membuat permohonan bertukar ke sebuah sekolah menengah di Setiu selepas mengetahui dia mengandung enam bulan. Bagaimanapun, katanya usaha pelajar itu berpindah sekolah tidak berhasil kerana bapa saudaranya yang tinggal di daerah berkenaan enggan menerimanya tinggal bersama kerana mengetahui dia mengandung anak luar nikah. “Pelajar berkenaan tiada pilihan dan melahirkan seorang anak lelaki pada 26 April lalu. Tidak tahan menanggung malu, pelajar berkenaan kini bertukar ke sebuah sekolah lain di daerah ini dan akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) September ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan meminta pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) membuat siasatan lanjut. “Setakat ini kita sudah dimaklumkan bahawa empat pelajar sekolah itu sudah melahirkan anak,” katanya sambil menambah pihaknya kesal dan terkejut dengan perkembangan berkenaan. - MyMetro

No comments: