Wednesday, June 2, 2010

MP Kapar: ‘Tangan terikat, tapi saya hadap Selcat pagi ini’

Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam akhirnya memutuskan untuk menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) pagi ini walaupun mendakwa ‘tangannya terikat’ dengan implikasi perundangan bakal dihadapinya dari pelbagai sudut.

“Saya memang dalam dilema sekarang.... saya baru sahaja bercakap dengan peguam saya dan 80 hingga 90 peratus saya sudah memutuskan untuk pergi.

“Saya akan pergi menemui Selcat tetapi saya tidak boleh mendedahkan maklumat kepada Selcat dengan mendalam,” kata beliau ketika dihubungi 7.30 pagi tadi.

Notis telah dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Negeri Selangor Mohamad Yasid Bidin untuk memanggil Manikavasagam menghadiri sesi pendengaran awam berhubung kes itu pukul 10 pagi ini.

Wakil rakyat tidak membuat keputusan sehingga malam tadi sama ada perlu menghadapi Selcat ataupun sebaliknya dengan merujuk kepada amalan Parlimen dan batasan di bawah undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kalau saya tak pergi ke Selcat pun masalah, kalau pergi pun bermasalah... saya dalam situasi dilema,” kata beliau dengan cuba menenangkan dirinya dengan menambah, “saya akan pergi dan hanya menyerahkan beberapa dokumen asas, yang saya telah beri kepada polis sebelum ini.”

“Saya akan menjelaskan kepada Selcat masalah yang saya hadapi, masalah yang saksi-saksi saya hadapi... mereka terima ugutan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Manikavasagam berkata, beliau juga telah meminta Selcat agar menulis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi meminta kebenaran membolehkannya memberi keterangan kepada jawatankuasa itu.

“Hari ini peguam saya akan menulis kepada Speaker dan kemudian kepada SPRM mengenai kehadiran saya di Selcat,” katanya lagi.

Tindakan susulan akan bergantung kepada respons kepada surat-surat itu, katanya.

Peguam yang mewakili wakil rakyat itu, N. Surendran mengesahkan kepada The Malaysian Insider malam tadi bahawa Manikavasagam tidak akan menghadiri sesi pendengaran Selcat hari ini, yang dijadual untuk bersidang menyiasat dakwaan amalan rasuah dalam perniagaan pasir anak syarikat kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

Surendran berkata anak guamnya itu terikat dengan implikasi undang-undang dan amalan Parlimen.

Dalam surat yang dihantar kepada Selcat semalam, beliau berkata, dengan merujuk Amalan Parlimen Erskin May, seorang Ahli Parlimen tidak boleh dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan Selcat.

Pada minggu lalu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Teng Chang Selcat tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa sesiapa tanpa kebenaran Peguam Negara.

Teng yang juga Pengerusi Selcat berkata, mengikut Seksyen 3 Enakmen Penghinaan Dewan 2008, Manikavasagam menghina DUN jika beliau gagal menghadiri sesi itu atau memberi kenyataan atau menyediakan dokumen yang diperlukan.

Jika didapati bersalah, beliau boleh dipenjara maksimum 12 bulan atau denda RM5,000, tetapi hukuman itu bergantung atas kelulusan Peguam Negara.

Katanya Mohamad Yasid memetik seksyen itu dalam saman notisnya sebagai peringatan kepada Manikavasagam.

Teng berkata beliau akan mempengerusikan sesi pendengaran awam itu yang diadakan oleh Selcat selama tiga hari mulai hari ini.

Jawatankuasa itu hanya akan mencadangkan bentuk tindakannya jika ia membabitkan kakitangan kerajaan negeri kerana kes itu dilihat dari perspektif pentadbiran, katanya.

Teng berkata terpulang kepada SPRM atau polis untuk membuat siasatan susulan dengan apa terjadi dalam sesi itu. - The Malaysian Insider

No comments: