BeritaPanas
Thursday, August 5, 2010
'Anak saya bukan isteri kedua Abdul Aziz' - Siti Badariah

“Arwah anak saya bukan isteri kedua Allahyarham Datuk Abdul Aziz Mohd Noh tetapi hanya sebagai seorang kerani dan tiada apa-apa hubungan istimewa antara kedua-dua mereka”.

Demikian penjelasan Siti Badariah Ahmad, 62, ibu kepada Siti Rohana Ismat, 43, yang ditemui mati bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Permatang itu.

Beliau berkata Siti Rohana, yang juga Naib Ketua Wanita Umno Tanjung Karang mengenali Abdul Aziz, 64, sejak Abdul Aziz menjadi wakil rakyat di kawasan Permatang.

“Dahulu pun orang ingat dan cakap anak saya ada hubungan istimewa dengan Datuk Aziz tetapi hubungan mereka sebenarnya tidak lebih daripada majikan dengan pekerja sahaja. Sebagai seorang kerani, dia mestilah selalu mengikut bosnya untuk menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang.

Abdul Aziz dan Siti Rohana ditemui mati dengan kesan tembakan pada kepala masing-masing dalam kereta yang dipandu Abdul Aziz yang terbabas di Lebuh raya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat sini pada 11 pagi, hari Selasa.

Menurut Siti Badariah, tiada sebab bagi arwah anaknya menjadi isteri kedua kepada Abdul Aziz kerana Siti Rohana sudah memiliki segala-galanya termasuk rumah, kereta dan perniagaan sendiri.

Katanya sejak bercerai dengan Abdul Aziz Hamim, 43, lima tahun lepas, anaknya yang aktif berpolitik terpaksa bekerja keras demi mencari rezeki untuk mereka empat beranak.

“Allahyarham seorang anak dan ibu yang baik serta bertanggungjawab kepada anak-anaknya kerana sanggup bekerja siang malam untuk menyara keluarga,” katanya.

Ayah Siti Rohana, Ismat Shafie, 74, berkata arwah anaknya tidak mempunyai sebarang musuh dalam politik mahupun urusan peribadinya.

“Saya juga tidak pernah ambil tahu mengenai urusan peribadi Rohana termasuk hal ehwal politik dan perniagaan butik andaman dan solekan yang diceburinya,” kata bekas petani itu.

Beliau juga berkata ketiga-tiga anak Siti Rohana – Izati Natasha, 19, Iliani Nazira, 14 dan Mohd Izat Emir, 9, masih dalam keadaan trauma ekoran kematian ibunya itu. –Bernama